CCTV GAGAL RAKAM AKTIVITI PEMBUANGAN SAMPAH HARAM - MPKU AKAN KUATKUASAKAN TANGKAPAN
KULAI, 17 November 2020 Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di Pasar Awam Kelapa Sawit awal tahun ini bagi mencekup tindakan pembuangan sampah haram. Walau bagaimanapun, CCTV tersebut masih gagal untuk merakamkan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut. Masalah sampah haram yang berlanjutan sekian lama tersebut akan kembali berulang dalam tempoh dua hari selepas pembersihan dilaksanakan. Mereka yang terlibat tersebut tidak mengabaikan soal kebersihan persekitaran dan membuang sampah di kawasan lapang tepi jalan ke pasar awam berkenaan. Malah, pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) telah melaksanakan pembersihan di lokasi tersebut dengan kekerapan dua kali seminggu namun masalah sampah haram tetap berterusan. PAPAN TANDA LARANGAN TIDAK DIHIRAUKAN Mereka yang terlibat juga didapati tidak menghiraukan papan tanda larangan yang didirikan di lokasi sampah haram tersebut. Terkini, MPKu telah memasang CCTV namun aktiviti haram tersebut gagal dirakamkan. Penduduk Kelapa Sawit yang ditemui memaklumkan bahawa aduan berhubung masalah sampah haram berkenaan telah disalurkan kepada Ahli Majlis Perbandaran Kulai sejak beberapa tahun lalu. Meskipun pihak SWM Environment telah melaksanakan kerja pembersihan, namun masih terdapat individu yang tidak bertanggungjawab membuang secara haram tidak lama kemudian. “Masalah sampah haram di lokasi tersebut tidak akan selesai jika segelintir penduduk setempat masih tidak memberikan kerjasama dan membuang sampah secara haram. Langkah penyelesaian adalah menguatkuasakan undang-undang berdasarkan rakaman CCTV.†Sementara itu, penduduk juga memohon perhatian pihak berkuasa berkaitan untuk membaikpulih penghadang di tepi sungai yang telah rosak. MANTAN KETUA KAMPUNG MINTA CCTV DIBAIKPULIH Dalam pada itu, mantan Ketua Kampung Kelapa Sawit mencadangkan agar pihak MPKu membaikpulih CCTV dan menguatkuasakan tindakan tangkapan pembuang sampah haram. Meskipun CCTV telah dipasang sejak awal tahun ini, namun ia gagal memberi kesan akibat rakaman kamera yang tidak dapat merakamkan tindakan berkenaan. Beliau turut mengemukakan cadangan kepada Ahli MPKu untuk membaikpulih dan mengubah kedudukan CCTV tersebut serta mengharapkan keberkesanan bagi menyelesaikan masalah sampah haram berkenaan. Selain itu, beliau juga meminta penduduk kampung untuk peka terhadap kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah secara merata di kawasan pasar awam tersebut. Penduduk juga tidak perlu mengangkut sisa pukal seperti perabot ke lokasi aduan kerana pihak SWM Environment telah menyediakan perkhidmatan sisa pukal secara terus dari kediaman penduduk.