Aplikasi KITARecycle Berdaftar Secara Rasmi dengan MyIPO, Perkukuh Transformasi Pengurusan Sisa Pepejal
SEREMBAN, 16 August 2026
SWM Environment terus memperkukuh komitmennya dalam memacu agenda ekonomi kitaran negara apabila aplikasi KITARecycle kini telah didaftarkan secara rasmi dengan
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pendaftaran ini bukan sahaja memberi perlindungan terhadap hak harta intelek aplikasi KITARecycle, malah mencerminkan kematangan program tersebut yang telah
berkembang daripada inisiatif awal mempromosikan kesedaran kitar semula kepada sebuah platform kelestarian yang menyokong transformasi pengurusan sisa pepejal negara.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2018, KITARecycle telah melalui beberapa fasa perkembangan,
bermula dengan memupuk kesedaran mengenai pengasingan sisa di punca, diikuti usaha memperluaskan kemudahan kitar semula serta meningkatkan penyertaan masyarakat.
Kini, KITARecycle semakin memainkan peranan sebagai platform ekonomi kitaran bagi pengurusan sisa pepejal.
“KITARecycle bukan sekadar aplikasi ganjaran kitar semula, malah merupakan sebuah platform digital yang menghubungkan masyarakat, kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi
pendidikan dan sektor korporat dalam usaha bersama membangunkan ekosistem ekonomi kitaran yang lebih mampan.”
Beliau berkata, pada peringkat awal, SWM Environment memberi tumpuan kepada usaha membina kesedaran masyarakat supaya orang ramai memahami bahawa sisa yang telah diasingkan mempunyai nilai ekonomi dan berpotensi untuk dikembalikan semula ke dalam rantaian penggunaan.
Perubahan tingkah laku inilah yang menjadi antara asas kepada kejayaan KITARecycle sehingga hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga Jun tahun ini, terdapat sebanyak 243 kemudahan KITARecycle di seluruh negara, termasuk
Pusat Pandu Lalu KITARecycle (PPLK), Drop-Off Collection Point (DOCP) serta sangkar kitar semula KITARecycle.
Pada masa yang sama, beliau berkata SWM Environment turut menyediakan kemudahan komuniti lain berdasarkan keperluan setempat yang terdapat di Negeri Sembilan,
Melaka dan Johor. Kemudahan ini disediakan bagi memudahkan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam program kitar semula secara lebih sistematik dan berterusan,
sekali gus meningkatkan tahap penyertaan masyarakat serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
Beliau menegaskan bahawa KITARecycle kini memberi tumpuan kepada pengukuhan jenama, inovasi digital serta kerjasama strategik dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi dan sektor korporat. Pendaftaran dengan MyIPO juga menunjukkan bahawa
setelah hampir sembilan tahun berkembang dan diperluaskan, KITARecycle kini telah memasuki fasa yang lebih matang.
Beliau berkata, KITARecycle kini berpotensi menjadi platform yang menyokong pelaksanaan Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (Extended Producer Responsibility – EPR),
sekali gus menggalakkan pengeluar untuk lebih bertanggungjawab terhadap pengurusan produk dan pembungkusan selepas digunakan.
“Melalui penyertaan masyarakat dan rakan strategik, bahan pembungkusan pasca pengguna dapat dikumpulkan dan dikitar semula secara lebih sistematik sebelum dikembalikan semula ke dalam kitaran ekonomi.”
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan tersebut bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kadar kitar semula negara, malah dapat mengurangkan penggunaan ruang di tapak pelupusan, pelepasan gas rumah hijau serta penggunaan sumber semula jadi.
Dalam perkembangan lain, SWM Environment turut mengemas kini data terkini berkaitan pengumpulan bahan kitar semula. Sehingga 30 Jun tahun ini, syarikat telah mengeluarkan sebanyak 38.5 juta Recycling Points (RP) dengan nilai ganjaran melebihi RM1.92 juta kepada ahli yang menyertai program KITARecycle.
Mohd Norlisam berkata, tahap penerimaan masyarakat terhadap aktiviti pengasingan sisa di punca dan kitar semula semakin meningkat dari semasa ke semasa, sekali gus memberi maklum balas positif terhadap model penyertaan awam KITARecycle.
Beliau berkata, KITARecycle akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar kitar semula negara, memperkukuh agenda ekonomi kitaran serta membentuk komuniti yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, demi mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.