SWM agih 600 bekas bubur, galakkan pengasingan sisa
MELAKA, 15 March 2026
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, aktiviti “Agihan Bubur Lambuk” merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan syarikat.
Menurut beliau, program ini bukan sahaja berkongsi juadah tradisi bulan Ramadan dengan masyarakat, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti serta mempromosikan kepentingan pengurusan sisa pepejal secara mampan.
Beliau berkata, Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan perpaduan. Justeru, syarikat berharap dapat mendekati masyarakat melalui program ini, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pengasingan sisa dan penjagaan alam sekitar.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama AEON Ayer Keroh, di mana sebanyak 600 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai. Dalam masa sama, pihak SWM turut mempromosikan amalan pengasingan sisa serta menggalakkan penyertaan orang ramai dalam program KITARecycle, iaitu skim ganjaran kitar semula yang membolehkan pengguna mengumpul mata dan menebusnya kepada wang tunai.
Galakkan pengurusan sisa lebih baik
Beliau turut menjelaskan bahawa kebiasaannya jumlah sisa akan meningkat sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan. Oleh itu, orang ramai diseru untuk menguruskan sisa dengan baik, mengamalkan pengasingan di punca serta mengelakkan pembuangan sampah secara sembarangan demi menjaga kebersihan awam.
Tambah beliau, program ini juga merupakan satu platform penting bagi SWM sebagai syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan, termasuk rakan niaga seperti AEON.
Terus pupuk budaya lestari
Beliau menegaskan bahawa pada masa hadapan, syarikat akan terus komited dalam memupuk budaya alam sekitar dalam komuniti, menggalakkan pembangunan mampan serta tanggungjawab bersama ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan selesa untuk didiami.