SWM Environment Santuni 6 Rumah Menerusi Kasih Santun Ramadan

...

MELAKA, 20 March 2026

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) terus memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran program SWM Kasih Santun Ramadan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Alai sempena bulan Ramadan Al-Mubarak 2026 ini.

Menurut Mohd Norlisam Mohd Nordin, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, program ini melibatkan aktiviti ziarah kasih ke enam buah rumah penerima dalam kalangan warga emas uzur, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) serta individu sebatang kara di sekitar Kampung Alai sebagai usaha meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

“Pendekatan turun padang ini mencerminkan keprihatinan berterusan syarikat dalam menyantuni golongan yang memerlukan serta memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat. 

"Melalui program ini, SWM Environment menyalurkan sumbangan berupa aneka kuih raya dan barangan keperluan makanan bagi membantu penerima membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih bermakna,” katanya. 

Program ini turut disertai Jawatankuasa JPKK Alai yang diketuai Pengerusinya, Ibrahim Abd Latif, sekali gus memperlihat kerjasama erat antara pihak syarikat, pemimpin komuniti dan masyarakat dalam memupuk semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. 

Mohd Norlisam berkata, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan SWM Environment dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat serta menyemai nilai keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat. 

WM Environment komited untuk terus memperluas pelaksanaan program CSR yang berimpak tinggi dalam usaha membina komuniti yang lebih inklusif, penyayang dan sejahtera, selaras dengan peranan syarikat dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kelestarian sosial. 

https://kitareporters.com/niaga/lNbWno7Eay