Penduduk di Taman Lai Loy, Mantin telah menerima tong sampah baharu daripada SWM Environment.

...

MANTIN, 12 March 2026

Tong sampah di Pusat Penjaja Mantin dilaporkan rosak dan kerap hilang, manakala sebahagian kawasan perumahan di Taman Lai Loy, Mantin pula tidak mempunyai tong sampah sehingga menyebabkan penduduk membuang sampah merata-rata.

Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Nilai, Arul Kumar, memandang serius perkara tersebut.

Beliau telah bekerjasama dengan SWM Environment Sdn. Bhd. untuk mengagihkan tong sampah baharu kepada penduduk di sekitar Taman Lai Lai, Mantin yang sekian lama tidak mempunyai tong sampah.

Pada masa sama, beliau juga merancang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi pembuangan sampah haram bagi mengelakkan kejadian membuang sampah secara tidak terkawal terus berlaku, sekali gus menjaga kebersihan persekitaran komuniti.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan tong sampah baharu kepada peniaga tempatan di Mantin semalam.

Arul Kumar turut memaklumkan bahawa SWM Environment Sdn. Bhd. akan membuat pelarasan jadual kutipan sampah di beberapa kawasan di Seremban dan Nilai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, di mana terdapat kawasan yang akan diawalkan dan ada yang dilewatkan. Orang ramai diminta mengambil maklum mengenai perubahan ini bagi mengelakkan terlepas perkhidmatan kutipan sampah.

Pelarasan jadual kutipan sampah

Beliau berkata, bagi memastikan perkhidmatan pengurusan sisa berjalan lancar sepanjang musim perayaan, pada hari pertama Aidilfitri seramai 1,171 pekerja dan 202 kontraktor akan digerakkan untuk operasi kutipan sampah dengan menggunakan 136 buah lori kompaktor, manakala pada hari kedua pula melibatkan 490 pekerja, 75 kontraktor dan 30 lori kompaktor untuk meneruskan operasi.

Menurut beliau, perkhidmatan kutipan sisa pepejal yang dijadualkan pada 21 Mac (Sabtu) di sebahagian kawasan di Seremban dan Nilai akan ditangguhkan ke 22 Mac (Ahad).

Manakala bagi kutipan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula, tarikh kutipan di beberapa kawasan akan diawalkan daripada 21 Mac ke 20 Mac (Jumaat).

Beliau menjelaskan bahawa pelarasan ini hanya melibatkan kawasan tertentu sahaja, manakala kawasan lain kekal seperti biasa. Perubahan ini dibuat bagi mengelakkan longgokan sampah sepanjang musim perayaan yang boleh menjejaskan persekitaran penduduk.

Penggantian tong sampah beroda secara berperingkat

Arul Kumar berkata, SWM Environment Sdn. Bhd. kini sedang melaksanakan penggantian tong sampah beroda secara berperingkat di seluruh kawasan perumahan di Negeri Sembilan.

Di Mantin sahaja, sebanyak 165 unit tong sampah telah diagihkan, melibatkan dua saiz iaitu 120 liter dan 240 liter.

Tong 120 liter digunakan untuk rumah kediaman dan premis perniagaan kecil, manakala tong 240 liter untuk premis perniagaan yang lebih besar.

Beliau berkata, banyak tong sampah lama didapati retak, hilang roda atau penutup rosak, justeru penggantian tong baharu perlu dilakukan bagi meningkatkan kecekapan operasi kutipan dan pengurusan sisa pepejal.

Turut hadir ialah wakil SWCorp, wakil Jabatan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Pengurus Besar Operasi SWM Environment, Pengurus Operasi Negeri Sembilan serta pegawai-pegawai berkaitan.