Kasih Bubur Lambuk SWM! 600 bekas bubur lambuk diedarkan! Usaha perkukuh juga kesedaran kitar semula!
AYER KEROH, 10 March 2026
SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) terus menyemarakkan semangat Ramadan dengan mengedarkan sebanyak 600 bekas bubur lambuk secara percuma kepada pengunjung AEON Ayer Keroh, Melaka menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), SWM Kasih Bubur Lambuk, dengan kerjasama AEON Ayer Keroh.
Program yang diadakan di pusat beli-belah tersebut bukan sahaja bertujuan meraikan bulan Ramadan Al-Mubarak bersama masyarakat setempat, malah menjadi platform strategik untuk memperkukuh kesedaran awam terhadap amalan pengasingan sisa dan penyertaan dalam program kitar semula berganjaran, KITARecycle.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, inisiatif ini merupakan program tahunan syarikat yang mencerminkan komitmen berterusan SWM Environment dalam memperkasa hubungan komuniti dan menyantuni masyarakat melalui pendekatan yang inklusif dan bermakna.
“Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kebersamaan. Melalui program SWM Kasih Bubur Lambuk, kami bukan sahaja berkongsi juadah tradisi, malah mengambil peluang untuk mendekati masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan sisa pepejal secara mampan,” katanya.
Menurut beliau, program KITARecycle memberi peluang kepada orang ramai untuk mengasingkan bahan kitar semula, mengumpul mata ganjaran dan menebusnya kepada wang tunai melalui perbankan dalam talian.
Ini adalah usaha berterusan syarikat untuk menggalakkan perubahan tingkah laku ke arah amalan kelestarian yang lebih konsisten.
Beliau turut menegaskan bahawa peningkatan aktiviti sepanjang Ramadan dan musim perayaan lazimnya menyumbang kepada pertambahan jumlah sisa pepejal.
Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menguruskan sisa secara bertanggungjawab, mengamalkan pengasingan sisa di punca serta mengelakkan pembuangan sampah secara tidak terkawal yang boleh menjejaskan kebersihan awam dan dikenakan tindakan undang-undang.
“Program SWM Kasih Bubur Lambuk juga menjadi platform strategik bagi SWM Environment, selaku syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Melaka, untuk memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik seperti AEON Ayer Keroh serta mendekatkan perkhidmatan syarikat kepada masyarakat," katanya.
Melalui pendekatan ini katanya lagi, SWM Environment komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam memupuk budaya kebersihan, kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan komuniti.