Warga emas kumpul 1,357 kilogram barang kitar semula
SEREMBAN, 13 November 2025
Siapa sangka usaha lelaki warga emas ini berjaya mengumpulkan 1,357 kilogram (kg) bahan kitar semula dalam masa tiga bulan membawa tuah kepadanya.
Jaafar Idrus, 73, dinobatkan sebagai pengumpul bahan kitar semula terbanyak di Negeri Sembilan pada pertandingan sempena Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan (HKANS) 2025.
Pesara agensi kerajaan itu berjaya menebus mata ganjaran dengan nilai RM750 pada majlis yang berlangsung di Port Dickson, baru-baru ini.
Jaafar berkata, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti kitar semula sejak 2021 selepas program itu dilancarkan di taman perumahannya, di Taman Mulia Lagenda, Nilai.
"Selepas bersara, ada masa terluang dan perlu cari aktiviti bermanfaat untuk diisi. Saya mula mengitar semula sejak beberapa tahun lalu sebagai usaha untuk menjaga kebersihan kawasan perumahan.
"Dari situ, saya sedar bahawa sisa harian sebenarnya mempunyai nilai jika diurus dengan betul.
"Program KITARecycle memberi dorongan kepada saya dan jiran-jiran untuk lebih konsisten kerana ia mudah dan berimpak," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Lebih menarik, penduduk di kejiranan Jaafar juga akan menghubunginya jika terdapat bahan untuk dikitar semula dan warga emas itu akan ke rumah jiran untuk mengutipnya untuk diletakkan di fasiliti berkenaan.
"Sudah tentu, di rumah sendiri saya amalkan kitar semula. Saya didik cucu untuk amalkan kitar semula malah anak-anak juga memberi galakan dan sokongan atas usaha ini.
"Saya rasa membazir jika barangan yang boleh dikitar semula dibuang begitu sahaja. Sedangkan ia ada nilainya," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sebanyak 221,000 kg bahan kitar semula berjaya dikumpulkan dalam tempoh tiga bulan pertandingan sempena Hari HKANS 2025.
"Pertandingan yang berlangsung dari Ogos sehingga Oktober lalu itu menarik penyertaan seramai 1,353 ahli berdaftar di seluruh Negeri Sembilan.
"Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 64 peratus berbanding kutipan 142,000 kg kutipan pada 2024," katanya.