243 prospek penjara dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia

...

BANGI, 03 October 2025

Seramai 243 prospek penjara menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang Operasi Manual Pembersihan Awam selepas menamatkan latihan selama lapan bulan bermula Ogos 2024 hingga April 2025 di 18 Pusat Vokasional Industri Penjara seluruh Semenanjung Malaysia.

Anugerah itu disampaikan pada Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia Kali Keempat anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Bangi Avenue Convention Center (BACC), yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Selain itu, lima warga kerja SWCorp turut menerima SKM Tahap 3 dalam bidang Setiausaha Korporat Eksekutif menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Kor Ming ketika ditemui berkata, sejak penganjuran konvokesyen pertama pada 2018, SWCorp telah melahirkan lebih 1,100 graduan, bermula dengan 209 orang graduan pada tahun pertama, 200 orang pada tahun kedua, 443 orang pada tahun lalu dan kini meningkat kepada 248 graduan.

“Daripada jumlah itu, 243 adalah prospek penjara manakala lima lagi warga SWCorp. Saya menaruh harapan tinggi agar graduan ini menjadi tenaga pembersihan negara yang berkemahiran tinggi.

“Menjaga kebersihan bukan sahaja kewajipan, malah sebahagian daripada keimanan. Justeru, usaha melatih tenaga kerja ini amat penting bagi meningkatkan martabat sektor kebersihan negara,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian dan Ketua Pengarah Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 486 graduan daripada syarikat konsesi termasuk Alam Flora, Southern Waste Management Environment serta Environment Idaman Sdn Bhd turut berjaya menamatkan latihan pensijilan dan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia serta ditawarkan peluang pekerjaan.

Kerajaan juga jelasnya, menetapkan sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030, selain menambah dua juta pekerjaan berkemahiran tinggi bagi menyamai tahap purata negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

“Inisiatif pensijilan kemahiran yang dilaksanakan SWCorp hari ini amat penting dalam menyumbang kepada keperluan tenaga kerja berpengetahuan serta mampu bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.

"Malah, ia juga seiring pelaksanaan Dasar Kebersihan Negara 2020–2030 yang menekankan peningkatan kualiti pekerja sektor kebersihan,” ujarnya lagi.

Kor Ming turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Penjara Malaysia atas kerjasama strategik dalam menjayakan program latihan Sinar di Sebalik Tirai Besi sejak 2023.

Sementara itu, menurut Khalid, perancangan pihaknya selepas ini adalah memperluaskan bidang latihan kepada prospek penjara termasuk dalam bidang kraf tangan dan penghasilan baja kompos.

“Baja kompos ini akan dihasilkan daripada sisa makanan yang banyak dibekalkan oleh jabatan penjara. Ia boleh digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan landskap.

“Selain itu, prospek juga akan diberikan kemahiran dalam kraf tangan menggunakan sumber-sumber kitar semula bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Perancangan berkenaan dijangka direalisasikan bermula pada tahun 2026 dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Penjara serta Jabatan Pembangunan Kemahiran,” ujarnya.

https://www.sinarharian.com.my/article/750625/berita/nasional/243-prospek-penjara-dianugerahkan-sijil-kemahiran-malaysia