Amalan kitar semula perlu jadi agenda negara

...

PORT DICSKSON, 01 October 2025

HARI Cuci Malaysia merupakan inisiatif tahunan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan, amalan kitar semula dan pengurusan sisa pepejal secara mampan.

Pada 7 Februari 2025, Jemaah Menteri telah menetapkan Sabtu terakhir bulan September setiap tahun sebagai Hari Cuci Malaysia peringkat kebangsaan, menjadikannya agenda tetap negara.

Pelaksanaan ini melibatkan penyertaan meluas seluruh negara merangkumi pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pendidikan, komuniti setempat, syarikat pembersihan (SWM), pemaju perumahan (PR1MA dan SPNB), persatuan industri, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara syarikat dan persatuan yang mengambil bahagian ialah Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA), Tetra Pak, AEON, Coca-Cola, Nestle, Bank Muamalat, Entomal, 99 Speedmart, Cypark dan Fathopesenergy, manakala beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta menjadikan program ini sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Tahun ini, dua rekod baharu dicipta dalam Malaysia Book of Records (MBOR), iaitu: 
i. Penyertaan gotong-royong teramai: 100,817 peserta serentak di seluruh negara
ii. Pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak dalam sehari: 27,679.31 kilogram

Objektif Hari Cuci Malaysia adalah untuk:
• Meningkatkan kesedaran awam mengenai kebersihan, kitar semula dan penjagaan alam sekitar.
• Menggalakkan penyertaan menyeluruh merangkumi kerajaan, swasta, NGO, komuniti, institusi pendidikan dan individu.
• Membudayakan amalan kebersihan sebagai norma harian masyarakat
• Memupuk semangat perpaduan dan kesukarelawanan melalui aktiviti gotong-royong.

Hari Cuci Malaysia bukan sekadar inisiatif pembersihan, sebaliknya menjadi simbol nilai teras Malaysia Madani yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan rakyat dan perpaduan masyarakat majmuk.

Ia juga melambangkan kesepakatan rakyat bersama kerajaan dalam membudayakan amalan kebersihan demi masa depan negara yang lebih hijau, bersih dan sejahtera. 

https://www.utusan.com.my/nasional/2025/10/amalan-kitar-semula-perlu-jadi-agenda-negara/