SWM Melancarkan Kempen Pembersihan Pantai Bagi Menumpukan Kepada Pengunjung Yang Merokok Dan Membuang Puntung Rokok Di Pantai.
PORT DICKSON, 21 September 2025
Pelancong yang merokok di pantai sering membuang puntung rokok sesuka hati, sekali gus menjejaskan kebersihan pantai. Di Port Dickson, puntung rokok dikenal pasti sebagai sampah paling banyak ditemui.
Bagi terus komited memelihara alam sekitar, SWM Environment hari ini menganjurkan program pembersihan pantai di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson bersempena World Clean Up Day 2025.
Seperti tahun sebelumnya, puntung rokok kekal menjadi sampah paling banyak dikutip. Pada tahun lalu, sebanyak 17,160 puntung rokok telah ditemui, manakala pada tahun ini jumlah tersebut berkurangan separuh kepada 7,236, namun masih menduduki tempat pertama dalam kategori sampah.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisan, berkata program ini mula dianjurkan sejak tahun 2019 dan kini memasuki tahun ketujuh. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan pencemaran sisa pepejal serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan kawasan rekreasi dan persekitaran pantai. Semua sampah yang dikutip, termasuk plastik pakai buang, puntung rokok dan polistirena, akan dikategorikan untuk analisis serta tujuan kitar semula.
Beliau berkata, pengurangan jumlah sampah tahun ini membuktikan tahap kesedaran awam semakin meningkat. Puntung rokok berkurangan daripada 17,160 pada tahun lalu kepada 7,236 pada tahun ini. Pada tahun lalu, sebanyak 8,496 kepingan plastik dan serpihan polistirena ditemui, manakala tahun ini jumlahnya menurun kepada 3,961 keping, termasuk beg plastik, penutup botol, pita pelekat dan serpihan polistirena. Plastik kekal sebagai penyumbang utama pencemaran pantai, manakala puntung rokok terus merosakkan pasir pantai.
“World Clean Up Day bukan sekadar membersihkan kawasan awam, malah berperanan menanam rasa tanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar dalam masyarakat. Bersempena Hari Malaysia, ia turut membawa mesej patriotik untuk bersama-sama menjaga negara dan melindungi alam sekitar, agar generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih lestari,” katanya.
Program pembersihan pantai pagi ini menghimpunkan seramai 200 sukarelawan. Antara pihak yang terlibat ialah Majlis Perbandaran Port Dickson, SWCorp, Lions Club International, Institut Pendidikan Guru, institusi teknikal dan vokasional, kakitangan pusat beli-belah serta beberapa syarikat swasta.