Dua Buah Pusat Kitar Semula di Kampung Baru Pajam dan Nilai Menggalakkan Budaya Kitar Semula Di Peringkat Akar Umbi

...

SEREMBAN, 18 August 2025

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai kini menambah dua lagi Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC Sejati Madani) yang terletak di Kampung Baru Nilai dan Kampung Baru Pajam, sekali gus memberi kemudahan lebih mesra kepada penduduk setempat untuk melaksanakan aktiviti kitar semula.

Kemudahan “drive-thru” ini membolehkan orang ramai menghantar bahan kitar semula seperti kertas, plastik, aluminium, besi tanpa perlu keluar dari kenderaan. Setiap penghantaran direkodkan melalui sistem penimbang dan pengasingan telus bagi memastikan keadilan serta ketelusan.

YB Arul Kumar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan merangkap ADUN Nilai, berkata pusat ini menjadi mercu
tanda penting dalam usaha memupuk budaya kitar semula dan kesedaran ekonomi kitaran dalam kalangan komuniti.

“Melalui sistem ganjaran mata KITARecycle, masyarakat lebih terdorong untuk menyertai usaha kelestarian ini. Selain mengurangkan lambakan sisa dan kos pelupusan, pusat ini juga berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan,” katanya.

Menurut beliau, pada tahun 2024 sebanyak 724.24 tan bahan kitar semula berjaya dikumpulkan di Negeri Sembilan, peningkatan 58% berbanding tahun sebelumnya. Setakat Jun 2025, jumlah terkumpul sudah melebihi 600 tan dan kerajaan negeri yakin sasaran 1,000 tan menjelang hujung tahun mampu dicapai.

Pelancaran ini turut dihadiri oleh Dato’ Ir Masri bin Baharuddin (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban), Mohd Norlisam bin Mohd Nordin (Pengurus Besar SWM Environment), Nurul Liza Binti Mohd Najib (Pengurus Komunikasi Korporat SWM Environment), wakil SWCorp Negeri Sembilan, ahli majlis, serta ketua kampung.

Sehingga kini, Negeri Sembilan mempunyai 44 pusat DTRC, di mana 37 daripadanya di bawah Program Sejati Madani. Sebanyak 32 pusat telah beroperasi,5 lagi dalam pembinaan, manakala 7 pusat lain diuruskan terus oleh pihak swasta.

YB Arul Kumar menegaskan bahawa penjimatan kos hasil daripada pengurangan sisa buangan boleh  digunakan semula untuk pembangunan pendidikan, infrastruktur dan komuniti yang lebih mendesak.