MBMB Anjur Program Pembersihan Besar-Besaran, Kekalkan Kebersihan Sempena Kedatangan Pelancong: Qi Yao
MBMB
Anjur Program Pembersihan Besar-Besaran
Kekalkan
Kebersihan Sempena Kedatangan Pelancong: Qi Yao
MELAKA (24 Mac 2022) – Sempadan
negara akan dibuka pada 1 April ini dan Melaka sebagai negeri pelancongan
terkenal perlu mengekalkan tahap kebersihan sebagai persediaan menyambut
kedatangan pelancong asing dan tempatan, kata Ahli Majlis Bandaraya Melaka
Bersejarah, Kon Qi Yao.
“Oleh itu, pihak
majlis telah menjalankan operasi pembersihan besar-besaran di kawasan
pelancongan di sekitar bandar Melaka bagi meningkatkan tahap kebersihan dan
juga kesedaran orang ramai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di operasi
pembersihan di Jalan Bunga Raya Pantai.
Qi Yao berkata,
beliau ada menerima aduan daripada peniaga bahawa terdapat orang awam yang
membuang sampah di kawasan parkir berdekatan dan menyebabkan sampah masuk ke
dalam longkang dan tersumbat.
“Selepas
menerima aduan, saya telah menghubungi SWM Environment untuk membuat
kerja-kerja pembersihan dan kami juga berjumpa peniaga setempat bagi mengetahui
masalah mereka mengenai isu kebersihan,” katanya.
Katanya,
memandangkan terdapat jumlah sampah yang tinggi dalam kawasan perindustrian
maka premis terlibat perlu melantik kontraktor swasta untuk menguruskan sisa
tersebut.
“Dalam operasi
kali ini, agensi terlibat telah melakukan kerja-kerja pembersihan di
lorong-lorong belakang dan mendapati banyak bahan binaan ditinggalkan. Setelah
dibersihkan kita harap dapat mengurangkan pembiakan nyamuk dan meningkatkan
kebersihan persekitaran,” katanya.