SWM Environment Lancar Kerja Pembersihan Sisa Banjir Melaka di 11 Lokasi

KRUBONG 23 Dis – Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) telah melancarkan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di 11 lokasi terjejas di negeri ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam bin Mohd Nordin berkata, operasi pembersihan itu dijalankan bermula Selasa lalu (21 Dis) membabitkan empat kawasan di daerah Alor Gajah dan tujuh di Melaka Tengah.

Antara kawasan yang terlibat dalam operasi itu katanya, termasuklah Taman Wira Indah, Pekan Lubok Cina, Taman Seri Bayu 2 dan Balai Polis Lubok Cina.

Selain itu ia turut melibatkan Kampung Morten, Taman Melaka Baru, Taman Bukit Beruang Bistari, Taman Melawis, Taman Murai Jaya, Taman Angkasa Nuri dan Taman Merdeka Jaya.

Pada masa sama, katanya, tong sampah beroda (TSB) turut ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal untuk memudahkan mangsa banjir yang berlindung di situ melupuskan sampah mereka bagi menjamin kebersihan kawasan PPS.

“Operasi bantuan pasca banjir yang dijalankan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini mengutamakan kerja-kerja kutipan sisa pukal dan pembersihan longkang dengan kekuatan 62 orang kakitangan dan 16 aset milik syarikat iaitu tiga lori Roro 16 tan, lima jentera penyembur, lima lori Ultra Whack dan tiga jentolak.

“Kerja-kerja pembersihan ini perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan timbunan sampah sisa banjir yang boleh mendatangkan masalah lain seperti penyebaran penyakit dan pencemaran bau sekaligus dapat mengembalikan persekitaran yang lebih bersih dan selesa untuk penduduk yang terjejas,” katanya.

Beliau menambah, operasi khas itu dijangka mengambil masa beberapa hari bagi memastikan sisa banjir dapat dibersihkan dengan sempurna untuk dihantar ke tapak pelupusan.

“Sehubungan itu, SWM Environment meminta kerjasama penduduk yang terjejas untuk mengumpulkan sisa banjir seperti perabot yang rosak di hadapan rumah atau di lokasi yang mudah dilalui oleh jentera kami,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau Talian WhatsApp SWM Environment di 012-618 0082.