1,151 Tan Janaan Sisa Pepejal Pasca Banjir Di Negeri Sembilan
SEREMBAN: Sebanyak 1,151 tan janaan sisa pepejal pasca banjir direkodkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan setakat semalam.
Pengarahnya, Mohd. Zahir Shari berkata, jumlah
tersebut melibatkan empat buah daerah yang terjejas banjir pada 18 dan 19
Disember lalu iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau dan Jelebu.
Jelas beliau, janaan sisa pepejal berkenaan termasuk dari kawasan
taman-taman perumahan dan perkampungan. Anggaran kapasiti sisa pepejal pasca
banjir bagi tempoh seminggu di Seremban ialah 427 tan, Port Dickson sebanyak
371 tan, Jelebu sebanyak 309 tan dan Rembau pula sebanyak 44 tan.
“Janaan ini melibatkan kawasan perkhidmatan konsesi SWM Environment Sdn. Bhd.
(SWM Environment) dan juga lokasi yang dibantu oleh SWCorp Negeri Sembilan
melalui misi bantuan pembersihan pasca banjir kelolaan kerajaan negeri dan
pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya hari ini.