SWM Environment Kongsi Keceriaan Krismas Bersama Insan Istimewa
ALOR GAJAH 17 Dis – Bersempena perayaan Hari Natal, SWM
Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Melaka berkongsi keceriaan bersama 25
kanak-kanak istimewa dan warga emas di negeri ini.
Ia diadakan menerusi program SWM Kasih Krismas bersama Persatuan
Kebajikan Kanak-kanak Istimewa dan Warga Emas Alor Gajah yang berlangsung
semalam.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd
Nordin berkata, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dijalankan
itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihak syarikat untuk
membantu insan memerlukan.
Jelasnya, ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat
agar tidak melupakan golongan kurang bernasib baik khususnya menjelang musim
perayaan.
“Selain berusaha memberi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal
dan pembersihan awam yang terbaik, SWM Environment turut komited mendekati
masyarakat dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Melalui program SWM Kasih Krismas, diharapkan sedikit sebanyak
dapat membantu kelangsungan operasi Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa
dan Warga Emas Alor Gajah serta memberi keceriaan kepada semua penghuninya.
“Sekurang-kurangnya penghuni di rumah kebajikan ini tahu bahawa
masih ada pihak yang mengambil berat terhadap kebajikan mereka,” katanya.
Antara sumbangan yang diberikan kepada Persatuan Kebajikan
Kanak-kanak Istimewa dan Warga Emas Alor Gajah adalah barangan makanan,
barangan keperluan harian dan kelengkapan penjagaan diri.
Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa dan Warga Emas Alor
Gajah turut didaftarkan di bawah program KITARecycle iaitu sebuah program kitar
semula oleh SWM Environment yang menawarkan mata ganjaran kepada ahlinya.
Melalui program KITARecycle ini membolehkan orang ramai
melakukan ‘kitar semula sambil beramal’ dengan menyumbang bahan-bahan kitar
semula kepada Persatuan Kebajikan Kanakkanak Istimewa dan Warga Emas Alor
Gajah.