SWM ENVIRONMENT SIAP SEDIA HADAPI FASA KEDUA

(JOHOR BAHRU, 27 SEPTEMBER) Kelonggaran daripada peralihan kepada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri Johor bakal menyaksikan peningkatan pergerakan orang ramai. SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) telah membuat persediaan rapi untuk memenuhi keperluan di kawasan tumpuan awam yang dijangka bakal menyaksikan peningkatan janaan sisa.

Dalam satu kenyataan pada hari ini, SWM Environment memaklumkan bahawa langkah-langkah diambil tersebut merupakan kesinambungan daripada perkhidmatan sedia ada yang beroperasi seperti biasa di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Johor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

SWM Environment akan memastikan perkhidmatan pembersihan awam di kawasan kedai termasuk parkir kenderaan, kawasan tumpuan awam dan pesisiran pantai secara berjadual berdasarkan kekerapan yang telah ditetapkan oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Kerjasama erat dengan SWCorp dan PBT diteruskan bagi mempunyai kemudahan tong sampah yang mencukupi untuk menampung keperluan pengunjung. Orang ramai yang berkunjung ke lokasi berkenaan harus memanfaatkan kemudahan tersebut dan tidak membuang sampah secara merata-rata.