150 Pek Makanan Sahur Untuk Frontliners

MELAKA - Sebanyak 150 pek makanan sahur diagihkan kepada petugas barisan hadapan di negeri ini oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) melalui program SWM Kasih Kembara Sahur.

 

Dua pasukan beruniform yang menerima pek makanan itu ialah Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Turut menerima pek makanan tersebut ialah pekerja pembersihan SWM Environment yang bertugas pada syif malam.

 

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program yang julung kali diadakan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti SWM Kasih iaitu entiti tanggungjawab sosial korporat syarikat yang bertujuan untuk berkongsi keceriaan di bulan Ramadan bersama golongan sasaran.  

 

“Anggota pasukan beruniform dan pekerja pembersihan merupakan antara petugas barisan hadapan yang sentiasa komited menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa khususnya ketika negara dilanda pandemik COVID-19. Malah, di bulan Ramadan ini ada petugas barisan hadapan yang tidak sempat untuk membawa atau membeli makanan sahur kerana perlu bertugas di lapangan.

 

“Oleh itu, SWM Environment mengambil inisiatif mengagihkan juadah bersahur untuk petugas barisan hadapan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Sumbangan ini juga sebagai tanda sokogan moral kepada petugas barisan hadapan agar terus bersemangat ketika menjalankan tugas,” katanya.