SWM Environment Galakkan Orang Ramai Bawa Bekas Sendiri Untuk Bungkus Makanan

MELAKA – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menggalakkan orang ramai membudayakan amalan membawa bekas makanan dan minuman sendiri serta beg yang boleh diguna semula setiap kali berkunjung ke bazar Ramadan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, amalan ini dilihat amat penting bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna memandangkan kebanyakan makanan dan minuman di bazar Ramadan dijual dengan dibungkus di dalam plastik.

”Peningkatan sisa plastik bungkusan makanan di bulan Ramadan dikhuatiri akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan. Oleh itu, sudah tiba masanya kita mewujudkan budaya baharu iaitu ‘tapau’ juadah berbuka puasa dengan menggunakan bekas yang dibawa sendiri seperti mangkuk tingkat, bekas makanan serta beg kitar semula.

Tambah Mohd Norlisam, membawa bekas sendiri dan beg kitar semula ke bazar Ramadan juga menyokong salah satu elemen dalam kempen kesedaran 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang merujuk kepada pengurangan sisa yang dijana termasuklah sisa plastik.

Dalam pada itu, SWM Environment menyeru masyarakat agar lebih menghargai makanan dengan membeli juadah berbuka mengikut keperluan.