1,500 Orang Pekerja Pembersihan Bertugas

(Seremban, 10.05.2021) Pengurus Besar Korporat, SWM Environment, Tuan Haji Mohd Norlisam Bin Haji Mohd Nordin memberitahu pekerja pembersihan dan kenderaan SWM Environment Negeri Sembilan bersiap sedia untuk beroperasi semasa cuti perayaan Hari Raya.

Seramai 1,004 pekerja SWM Environment dengan sejumlah 48 buah lori terbuka akan melaksanakan kutipan sisa pepejal pada Hari Raya pertama. Pada Hari Raya kedua seramai 1,417 orang pekerja bertugas dengan 54 buah lori terbuka.

Namun begitu, terdapat anjakan jadual kutipan sisa pepejal bagi daerah Seremban, iaitu di kawasan Seremban 3 dan Rasah Jaya (Taman Nuri Indah Kecil, Taman Punca Emas dan Taman Loop) akan dilaksanakan pada 13 Mei 2021 dan bagi kawasan Templer dan Mambau ialah pada 14 Mei 2021.

Anjakan jadual kutipan juga turut melibatkan daerah Nilai iaitu di Pajam, Semarak, Mantin, Pekan Nilai, Labu, Enstek, Kuarters KLIA, Labu, Gadong, Seremban Jaya dan Bandar Seremban Selatan yang akan dilakukan pada 14 Mei 2021. Sementara itu, bagi daerah Rembau, kawasan yang terlibat ialah Taman Sri Rembau Fasa 1, Fasa 2 dan Lot Banglo, Taman Kota Indah, Pekan Kota, Pekan Astana Raja dan Rumah Rakyat Lubok akan dilakukan pada 12 Mei 2021.

SWM Environment juga turut memantau kawasan tumpuan awam agar keadaan kawasan tersebut sentiasa berkeadaan bersih. Antara lokasi yang diberikan penumpuan khusus ialah lokasi-lokasi aktiviti mantai, pasar awam, pasar tani dan pasar tani mega, bazar Ramadan, bazar Raya, pusat membeli-belah dan pasaraya, tong sampah berpusat, rumah pangsa dan Apartment, kem tentera dan pantai serta lokasi tumpuan pelancong.