Aidilfitri: Kutipan Sampah Di Melaka Seperti Biasa


MELAKA: Perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di negeri ini akan berjalan seperti biasa sepanjang dua hari cuti perayaan Aidilfitri pada 13 dan 14 Mei ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, pihaknya telah menyusun strategi operasi dengan jadual kutipan sisa pepejal, tenaga kerja serta jumlah kenderaan yang mencukupi.

“Sebanyak 52 kenderaan lori kompaktor dan 28 lori tipper terbuka dengan anggota seramai 376 orang akan bertugas pada hari raya pertama. Sebanyak 51 lori kompaktor dan 29 lori tipper terbuka dengan 387 orang anggota akan bertugas pada hari raya kedua,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, SWM Environment juga akan memberikan tumpuan khas operasi di kawasan tertentu bagi mengelakkan berlakunya longgokan sampah yang banyak dan tidak terkawal.

“Seperti musim perayaan sebelum ini, tumpuan akan turut diberikan kepada kawasan tong sampah berpusat yang kebiasaannya menjadi tempat pembuangan sampah bagi peniaga kecil, penjaja dan orang awam.

“Pihak operasi SWM Environment telah mengenal pasti 80 lokasi tong sampah berpusat iaitu di Melaka Tengah (42 lokasi), Alor Gajah (17 lokasi) dan Jasin (21 lokasi) yang memerlukan perhatian khusus untuk kerja kutipan sisa pepejal,” jelasnya.