KITAR SEMULA SISA MAKANAN MELINDUNGI ALAM SEKITAR. “KEMPEN PENGKOMPOSAN” 4 BAZAR RAMADAN BATU PAHAT

(Berita Batu Pahat 11/4/2021) SWM Environment Sdn. Bhd. akan mengadakan Kempen Pengkomposan di 4 Bazaar Ramadan Batu Pahat sempena bulan Ramadan, kitar semula sisa makanan untuk melindungi alam sekitar.

SWM Environment pada tahun ini pertama kalinya bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia untuk melancarkan kempen tersebut dan telah mendapat sokongan penyertaan daripada penduduk Taman Pura Kencana, Taman Universiti dan Peniaga Bazaar Ramadan Bindu dan Parit Raja.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd. Mohd Norlisam yang berada di majlis perasmian kempen pengkomposan di UTHM berkata, sempena bulan Ramadan, sisa makanan yang dibuang oleh orang ramai akan bertambah sebanyak 15-20%.

“Setakat ini, purata sisa makanan yang dibuang oleh rakyat Malaysia adalah sebanyak 3500 metrik tan. Melalui kempen pengkomposan tersebut, pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan dapat dikurangkan dan membawa manfaat terhadap alam sekitar.”

Turut hadir majlis perasmian tersebut termasuk Ahli Parlimen Batu Pahat YB Dato' Mohd Rashid, Pengurus Servis Kawasan SWM Environment Sdn. Bhd. Looi Yat Seong dan Naib Canselor UTHM Datuk Wahid Razzaly.