Infak Barangan Kitar Semula, Bantu Rumah Kebajikan Tebus Wang Tunai
SEREMBAN: Pada kebiasaannya urusan infak dilakukan
menggunakan wang tunai sumbangan barangan keperluan, tetapi orang ramai di
Negeri Sembilan kini boleh melakukannya dengan menggunakan bahan buangan yang
boleh dikitar semula.
Ia
menerusi program KITARecycle yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi pengurusan
sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment)
Menurut
Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin, orang ramai yang berminat untuk melakukan
infak itu boleh menyerahkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula yang telah
dikumpul kepada rumah kebajikan yang mendaftar dalam program KITARecycle.
Katanya,
rumah kebajikan berkenaan pula akan mendapatkan mata ganjaran yang boleh
ditebus dengan wang tunai mengikut barang-barang yang diserahkan tersebut.
“Usaha
ini bukan sahaja dapat memberikan sumbangan kepada anak yatim dan asnaf tetapi
ia dapat menjaga alam sekitar. Sehingga kini terdapat empat rumah kebajikan dan
perlindungan yang berdaftar di bawah KITARecycle di sekitar Seremban,” katanya
hari ini.
Tambahnya,
menerusi program berkenaan, wang yang dikumpulkan itu juga dapat mengurangkan
kos operasi rumah kebajikan yang terlibat.