Mualaf Kongsi Cabaran Berpuasa
MELAKA: Walaupun
bukan pertama kali berpuasa pada bulan Ramadan, ia tetap menjadi cabaran buat
mualaf yang hanya ingin dikenali sebagai Echa untuk memastikan beliau dapat
menunaikan rukun Islam ketiga itu dengan sebaiknya selain turut melaksanakan
ibadah lain seperti solat fardu dan tarawih.
Suri rumah berusia 24 tahun itu berkata cabaran
berkenaan lebih dirasai apabila beliau perlu berpuasa dalam keadaan sarat
mengandung dan menghidap gastrik tetapi ia bukan penghalang buatnya yang teruja
menunaikan ibadah berkenaan bersama suaminya yang merupakan seorang Muslim.
"Saya memang hidup dan tinggal dalam komuniti Melayu dan
Islam...sebelum ini juga saya selalu berpuasa pada bulan Ramadan bersama
kawan-kawan Islam tetapi banyak perbezaan atau kelainan ketika berpuasa sebagai
Muslim dan sebelum memeluk Islam.
Beliau berkata dia bernasib baik kerana
penghijrahannya itu mendapat bimbingan daripada suami yang dinikahinya selepas
memeluk Islam selain sering melibatkan diri dengan program dakwah atau
berkaitan Islam dalam usaha meningkatkan ilmu dan pemahamannya tentang agama
itu dengan lebih jelas.
Sementara itu, saudara baharu yang ingin dikenali
sebagai Muhammad, 29, berkata beliau tertarik untuk memeluk Islam selepas
sering didedahkan dengan pelbagai kisah berkaitan nabi oleh seorang kenalannya
di tempat kerja sejak dua tahun lepas.
Pekerja di sebuah kilang di sini berkata daripada
kisah yang didengarinya itu, beliau kemudian membuat pembacaan yang lebih
terperinci daripada pelbagai sumber untuk mencari bukti sahih mendalami
keindahan Islam.
"Bukan mudah untuk saya sebagai seorang penganut
Kristian sebelum ini membuat keputusan memeluk Islam.
"Banyak juga halangan yang saya terpaksa lalui
terutama apabila penghijrahan saya ini tidak mendapat restu keluarga dan tidak
disenangi rakan-rakan.
"Tetapi alhamdulillah berkat doa yang tidak pernah
putus, akhirnya keluarga kini dapat menerima keputusan saya dan masih banyak
lagi yang perlu dipelajari untuk saya benar-benar menjadi seorang Muslim yang
baik," katanya yang memeluk Islam pada Disember tahun lepas.
Mengulas tentang ibadah puasa sebagai seorang
mualaf baharu, beliau bersyukur dapat menjalani ibadah berkenaan yang kini
telah memasuki hari ke-13 dan berharap dapat berpuasa penuh tanpa sebarang
ujian.
Terdahulu, kedua-dua mualaf berkenaan ditemui pada
Majlis SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Kasih Santun Ramadan bagi
meraikan golongan mualaf di Melaka yang disempurnakan Pengurus Besar Korporat
SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin dan turut dihadiri Pengerusi
Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Melaka Nur Caren Chung Yock Lan di sini
pada Jumaat.
Mohd Norlisam berkata sebanyak 10 mualaf baharu
menerima sumbangan berupa beras, barangan keperluan, sejadah dan al-Quran dan
ia merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk meraikan
golongan berkenaan.
"Ramadan
kali ini merupakan yang pertama dilalui golongan mualaf berkenaan dalam hidup
mereka dan sumbangan ini sedikit sebanyak diharap dapat memberi keceriaan
kepada mereka," katanya.