SWM ENVIRONMENT GANTI 398 TONG SAMPAH BERODA PENIAGA TERJEJAS BANJIR
(JOHOR BAHRU, 23 FEBRUARI) SWM
Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan menggantikan tong sampah beroda
membabitkan 398 premis perniagaan di 17 lokasi yang terjejas banjir di kawasan
Majlis Daerah Kota Tinggi.
Pengurus Besar Korporat, Mohd
Norlisam Mohd Nordin berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menggantikan
tong sampah beroda yang rosak dan hanyut akibat bencana banjir baru-baru ini
dalam memastikan kutipan sisa pepejal dikendalikan mengikut piawaian prosedur
operasi (SOP) ditetapkan.
“Bagi memastikan pematuhan SOP, kami akan menghantar secara terus tong sampah beroda baharu ke premis kediaman dan perniagaan mangsa terjejas banjir berdasarkan maklumat yang telah dikumpulkan.”
PENGEDARAN MENGIKUT SOP
Beliau dalam pada itu turut
memaklumkan bahawa inisiatif tersebut dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan
Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekali gus mengekang penularan wabak COVID-19
di negeri Johor.
Sementara itu, beliau turut
memberitahu bahawa pihak SWM Environment telah membersihkan sebanyak 444,821
kilogram sampah melalui Operasi Bantuan Banjir manakala sejumlah 500 buah
keluarga terjejas banjir menerima sumbangan SWM Kasih Bantuan Banjir bulan
lalu.