Eco-Trap Bantu Kurangkan Kesan Pencemaran Sungai

(BATU PAHAT, 30 Nov) Dalam usaha mengurangkan kesan pencemaran sungai terutamanya yang berpunca daripada pembuangan sisa pepejal ke dalam sistem saliran, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM) bekerjasama dalam menghasilkan perangkap sampah yang diberi nama Eco-Trap.


Ketua Projek Eco-Trap Dr Roslinda Ali berkata perangkap sampah berkenaan merupakan inovasi kos rendah bagi peralatan memerangkap sisa, yang diperbuat daripada botol plastik dan bertindak sebagai pelampung apabila jaring dilepaskan ke sungai.


Roslina yang juga Pensyarah kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTHM Kampus Pagoh berkata idea berkenaan diilhamkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Andrew Soh Wee Shong setelah melihat banyak sisa pepejal yang dibuang ke dalam anak sungai yang dikhuatiri masuk ke aliran utama.


“Ini bukan sahaja menganggu pemandangan malahan kadangkala selepas hujan, ia juga akan mengeluarkan bau busuk selain memberikan kesan kepada pencemaran sungai.


“Kajian ini telah telah dijalankan selama sebulan di Sungai Panchor, dekat Pagoh, Muar dengan alat Eco-Trap ditenggelamkan ke dalam sungai dan hujung jaring ditambat sebelum ditinggalkan. Kemudiannya penyelidik dan Unit 3R Troopers SWM akan menarik perangkap berkenaan selepas beberapa hari ia dipasang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Jelas Roslinda, antara cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang sebulan melakukan kajian berkenaan adalah perlu memastikan sisa pepejal yang masuk ke dalam perangkap tidak terkeluar dari Eco-Trap semasa jaring diangkat keluar.


Katanya, Eco-Trap telah melalui beberapa kali ujian dan penambahbaikan bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik serta lebih efisien terutamanya ketika proses mengutip sisa pepejal yang berada di dalam sistem saliran.


“Ketika perangkap ini diangkat keluar, selain ranting dan dahan pokok, terdapat juga sisa isi rumah yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti lampin pakai buang, guni plastik, bekas sabun pencuci serta laci almari.


“Kami kesal kerana masih ada lagi masyarakat yang berada pada tahap pemikiran ‘kelas ketiga’ dan ia amat menyedihkan ketika era dunia serba canggih serta moden kini,” katanya


Dalam pada itu, Soh berkata idea untuk mencipta alat berkenaan adalah untuk mengawal pencemaran saliran air terutamanya sungai yang sebahagian besarnya menjadi sumber bekalan air bersih. - BERNAMA