Pembersihan 1,062 Jalan Di Melaka Kini Di Bawah JKR

(PAYA RUMPUT, 18 Nov) Perkhidmatan pembersihan membabitkan 1,062 jalan utama perbandaran di Melaka bukan lagi di bawah seliaan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment).


Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, perkhidmatan pembersihan jalan di kebanyakan jalan utama itu telah diserahkan kepada kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak Januari 2020.


Menurutnya, penyerahan perkhidmatan pembersihan tersebut yang melibatkan jalan di bawah JKR di Melaka itu selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada semua syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.


“Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), perkhidmatan pembersihan jalan-jalan tersebut dikeluarkan dari skop kerja syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kerana jalan-jalan tersebut berada di bawah pentadbiran dan seliaan JKR serta di luar daripada skop Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).


“Penamatan perkhidmatan pembersihan SWM Environment ini melibatkan sebanyak 1,062 jalan JKR di Melaka, 231 jalan JKR di Johor dan 156 jalan JKR di Negeri Sembilan.


“Ia meliputi perkhidmatan pembersihan jalan dengan menggunakan jentera ‘road sweeper’, kutipan sampah, pemotongan rumput dan pembersihan longkang di sepanjang jalan JKR, termasuk semua jalan utama di pusat bandar,” katanya.


Tambah beliau lagi, dengan pengambilalihan perkhidmatan pembersihan oleh JKR, maka sebarang aduan atau isu kebersihan berhubung jalan JKR perlu diajukan kepada pihak yang berkaitan.


“Bagaimanapun, SWM Environment sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam memberi penerangan kepada orang awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai penyerahan perkhidmatan pembersihan Jalan JKR.


“Di samping itu, SWM Environment sebagai syarikat konsesi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti di kawasan-kawasan seliaan kami,” katanya.


Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai jalan-jalan seliaan SWM Environment dengan menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 (waktu operasi 8:00 pagi – 8:00 malam), menghantar mesej WhatsApp kepada 012 618 0082 atau emel kepada crmkl@swmsb.com.