SWM Environment Serah Perkhidmatan Pembersihan 1,062 Jalan Kepada JKR

(MELAKA, Nov 18) Perkhidmatan pembersihan jalan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) melibatkan 1,062 jalan utama perbandaran di negeri ini diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak Januari lepas.


Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata penyerahan perkhidmatan itu selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada semua syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.


“Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), perkhidmatan pembersihan jalan-jalan tersebut dikeluarkan daripada skop kerja syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.


“Ia berikutan jalan-jalan tersebut berada di bawah pentadbiran dan seliaan JKR serta di luar daripada skop Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mohd Norlisam berkata penamatan perkhidmatan pembersihan oleh SWM Environment itu melibatkan 231 jalan JKR di Johor dan 156 jalan JKR di Negeri Sembilan meliputi perkhidmatan pembersihan jalan dengan menggunakan jentera road sweeper, kutipan sampah, pemotongan rumput dan pembersihan longkang di sepanjang jalan JKR termasuk semua jalan utama di pusat bandar.


Beliau berkata dengan pengambilalihan perkhidmatan pembersihan oleh JKR, maka sebarang aduan atau isu kebersihan berhubung jalan JKR perlu diajukan kepada pihak berkaitan.


Orang ramai boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau emel kepada crmkl@swmsb.com bagi mendapatkan sebarang maklumat mengenai jalan-jalan seliaan SWM Environment - BERNAMA