JKR ambil alih pembersihan jalan utama di 3 negeri di selatan

(JOHOR BAHRU, 18 NOVEMBER) Perkhidmatan pembersihan jalan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) di jalan utama perbandaran di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sudah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak Januari lalu.


Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, berkata penyerahan perkhidmatan pembersihan berkenaan membabitkan 1,449 jalan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.


Katanya, ia selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada semua syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.


"Ini kerana ia berada di bawah pentadbiran dan seliaan JKR serta di luar daripada skop Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).


"Penamatan perkhidmatan pembersihan oleh SWM Environment ini membabitkan sebanyak 231 jalan JKR di Johor, 1,062 jalan JKR di Melaka dan 156 jalan JKR di Negeri Sembilan.


"Ia membabitkan perkhidmatan pembersihan jalan dengan menggunakan jentera road sweeper, kutipan sampah, pemotongan rumput dan pembersihan longkang di sepanjang jalan JKR, termasuk semua jalan utama di pusat bandar.


"Dengan pengambilalihan perkhidmatan pembersihan oleh JKR, maka sebarang aduan atau isu kebersihan berhubung jalan JKR perlu diajukan kepada pihak yang berkaitan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Mengulas lanjut, Mohd Norlisam bagaimanapun berkata, SWM Environment sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam memberi penerangan kepada orang awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai penyerahan perkhidmatan pembersihan jalan JKR.


"SWM Environment sebagai syarikat konsesi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sentiasa komited menyediakan perkhidmatan berkualiti di kawasan seliaan kami," katanya.


Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai jalan seliaan SWM Environment dengan menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472.